Buat apa nak pergi jauh jauh jika terdapat banyak tempat menarik di Kota Belud?
Tidak jauh dari ibu negeri yang sibuk dan pesat membangun, wujud sebuah daerah yang begitu indah di bahagian Pantai Barat Sabah. Kira kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, terletaknya Kota Belud yang cukup sinonim dengan keindahan alam semulajadi yang menyaksikan gunung ganang megah mencengkam bumi dikelilingi tumbuhan subur menghijau.
Kota Belud merupakan sebuah daerah kecil dengan populasi sekitar 91,000 penduduk. Pekan Kota Belud menjadi pusat utama orang tempatan menjalankan rutin harian seperti berniaga, berurusan dan sebagainya.
Siapa sangka disebalik daerah kecil ini, terdapat pelbagai tempat menarik untuk dilawati pengunjung. Pada entri kali ini kami kongsikan 6 tempat menarik di Kota Belud.
6 Tempat Menarik di Kota Belud
1. Polumpung Melangkap View Camp Site
Tempat Menarik di Kota Belud | Ini merupakan destinasi wajib jika anda berkunjung ke Kota Belud. Lebih lebih lagi jika anda penggemar aktiviti camping/ outdoor. Mana tidaknya, sungai yang mengalir di sini datang dari air terjun di Gunung Kinabalu!
Perjalanan untuk ke sini mengambil sekitar sejam dari Pekan Kota Belud. Agak lama juga. Namun, ia adalah sesuatu yang disifatkan ‘totally worth it’ setibanya anda di sini. Anda akan disambut dengan pemandangan tapak perkemahan yang sangat indah, sungai mengalir berlatarkan Gunung Kinabalu yang megah.
Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti BBQ, berkelah, camping, mengambil gambar dan bermandi manda. Semua aktiviti ini nampak biasa, tapi lokasinya yang menjadikan ia sebagai sebuah ‘moment’ yang mahal.
2. Nohutu Eco Tourism
Tempat Menarik di Kota Belud | Tidak jauh dari Melangkap View Camp Site, terletaknya sebuah lagi lokasi tumpuan iaitu Nohutu Eco Tourism. Konsep kedua dua lokasi ini sama sahaja.
Yang paling penting, pemandangan Gunung Kinabalu di sini juga boleh tahan wow! Amat sesuai untuk dijadikan lokasi riadah bersama keluarga dan rakan rakan.
Editor nak ingatkan, kalau nak bergambar dengan Gunung Kinabalu, pastikan anda bangun awal pagi! Sebab bila matahari dah naik Gunung akan dikelilingi kabus tau. Jangan cakap editor tak bagitahu ya! Haha
3. Pulau Mantanani
Tempat Menarik di Kota Belud | Nampak tak betapa uniknya Kota Belud ni? Selain pemandangan gunung ganang, terdapat juga pantai yang indah. Salah satunya adalah di Pulau Mantanani.
Pulau ini berbentuk pisau dan agak jarang dikomersilkan di Malaysia. Mungkin disebabkan ramai memilih untuk ke Semporna. Logik juga sebab pulau di sana yang paling power di Malaysia! Tapi kalau anda datang ke Kota Belud dan nak lakukan aktiviti seperti snorkeling & photoshoot, anda boleh fikir untuk datang ke Pulau Mantanani ini.
4. Usukan Cove Lodge
Tempat Menarik di Kota Belud | Datang saja ke Usukan Cove Lodge ini, pasti menghadirkan ketenangan. Mana tidaknya, lokasi ini jauh dari hiruk-pikuk kehidupan bandar dan dihiasi alam semula jadi. Pantainya putih meluas. Lautnya jernih membiru. Sangat indah.
Dikelilingi oleh hutan hijau yang subur, tempat ini akan membantu anda berhubung semula dengan alam semula jadi dan berehat sebentar daripada rutin sibuk anda.
Antara aktiviti yang anda lakukan seperti BBQ, berkelah, camping, mandi manda, photoshoot, berehat dan sebagainya.
5. Tamu Besar Kota Belud
Tempat Menarik di Kota Belud | Apabila ke Kota Belud, jangan lupa berkunjung ke Pasar Tamu Kota Belud. Di sinilah tempat peniaga dan masyarakat tempatan berkumpul untuk menjual barangan dan kraftangan mereka.
Selain sayur-sayuran hingga kek yang lazat, terdapat juga kraftangan unik dan kreatif serta pakaian tradisional yang direka dengan mahir. Tawaran harga di sini juga berpatutan.
Selain itu, lokasi ini akan menjadi salah satu tumpuan di Sabah setiap bulan Oktober. Acara tahunan “Festival Tamu Besar” dilangsungkan. Pada acara ini anda boleh menyaksikan sendiri Kuda Bajau diperagakan, pertandingan lumba Kerbau dan pelbagai lagi aktiviti menarik!
Sememangnya budaya masyarakat di Kota Belud ini punyai nilai dan keunikannya yang tersendiri.
6. Cabana Retreat Glamping
Tempat Menarik di Kota Belud | Satu lagi lokasi persisir pantai yang menarik di Kota Belud. Ini juga merupakan salah satu destinasi wajib jika ke sini.
Uniknya, Cabana Retreat ini berkonsepkan The First Pop Up Beach Resort in Malaysia. Pehhh. Teringin sangat nak pergi kan?
Antara aktiviti yang anda boleh lakukan adalah menunggang ATV, berbasikal, BBQ, berkelah, photoshoot dan sebagainya.